Followers

Tuesday, May 11, 2010

Kepentingan Memuliakan Para alim ulama@ostat@tuan guru@kiyai





Hubungan rapat antara ulama dan ajaran Islam, menyebabkan mereka menjadi tunggak kestabilan ummah. Dari segi falsafah, ulama sebagai penyelesai masalah memang tidak dipertikaikan lagi. Tapi soalnya siapa yang mampu merealisasikannya? Maka ketika inilah peranan ulama menjadi semakin penting. Selagi manusia perlukan Islam, maka selagi itulah manusia perlukan ulama, justeru hubungan ulama dengan ajaran Islam sangat erat, seperti isi dengan kuku. Secara realiti, tidak semua yang dianggap ulama mampu berperanan seperti yang diharapkan. Ada syarat-syarat yang mesti dipenuhi terlebih dahulu sebelum mereka mencapai darjat yang begitu penting dan mulia. Tegasnya, bukan mudah untuk melayakkan diri sebagai ulama sebenar. Kelayakan ulama bukan terletak semata-mata pada nama, jawatan, ilmu, kelulusan dan kepopularitian. Rasionalnya, tentu ada sifat yang sangat istimewa yang menyebabkan ulama telah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai pewaris nabi - `status' yang tidak diberikan pada mereka yang lain sekalipun para profesional seperti jurutera, doktor dan arkitek. Keistimewaan itulah yang melayakkan mereka mendapat kedudukan yang diperakui oleh Rasulullah SAW sendiri melalui sabdanya: "Ulama-ulama umatku adalah seperti nabi-nabi Bani Israil. " Apakah ciri-ciri istimewa itu?


Antaranya ialah:
1. Menjadi pewaris nabi Sifat ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Ulama itu pewaris para nabi." (Riwayat Abu Daud dan At Termizi) Apa yang diwariskan oleh nabi kepada ulama bukan sesuatu yang berbentuk `maddiah' (material), tetapi adalah warisan `maknawi' (tersirat) yang berkait langsung dengan peranan mereka sebagai pengganti nabi - memimpin dan mendidik manusia. Ertinya, apa yang diwariskan itu bukan harta, pangkat atau kemasyhuran kerana semua itu boleh diwarisi daripada mereka yang bukan nabi. Sekurang-kurangnya ada tiga perkara utama yang diwariskan oleh para nabi kepada ulama yakni ilmu, akhlak dan corak perjuangannya. a. Ilmu Pada ulama dari kalangan umat nabi terakhir, tentulah ilmu yang diwariskan kepadanya ialah ilmu Nabi Muhammad SAW, yakni ilmu yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah. Teras kepada ilmu ini ada tiga yakni tauhid, syariat dan akhlak Islamiah. Namun ilmu Al Quran tidak terhad kepada itu sahaja tetapi juga merangkumi banyak ilmu yang lain. Ilmu Al Quran adalah gambaran ilmu Allah yang sangat luas sesuai dengan sifat-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana. Itulah jua skop ilmu yang sepatutnya ada pada para ulama. Untuk berperanan sebagai pendidik dan pemimpin manusia yang terdiri daripada pelbagai golongan dengan tahap pemikiran dan jiwa yang pelbagai, maka ilmu ulama juga mesti pelbagai. Ilmu ulama mesti global. Simpanan ilmu para ulama seharusnya tidak dibatasi oleh sempadan ilmu `agama' atau ilmu `Akhirat'. Ulama mesti mengetahui dasar-dasar asas ilmu ekonomi, teknologi, sosial, budaya dan lain-lain. Tetapi ini tidak bererti ulama mesti pakar dalam semua bidang ilmu. Apa yang penting, ulama mesti mengetahui ilmu-ilmu itu secara general atau secara rangkuman (ijmali) sahaja. Misalnya, selain mendalami ilmu hukum halal haram, ulama patut juga tahu ilmu teknologi, sosiologi, ekonomi, sejarah, budaya dan lain-lain justeru ilmu-ilmu itu juga hakikatnya adalah ilmu yang terkandung di dalam Al Quran dan Hadis. Cuma ada yang disentuh di dalam Al Quran secara umum, ada yang terperinci. Oleh kerana itulah ayat Al Quran yang mengandungi hukum halal dan haram cuma 500 ayat daripada jumlah keseluruhan 6,666 ayat. Bakinya, banyak menyentuh ilmu-ilmu lain. Para ulama zaman silam telah mencapai keunggulan ilmu ini. Imam Ghazali misalnya, bukan hanya arif dalam ilmu agama, tetapi beliau tahu malah pakar dalam ilmu astronomi, biologi dan sosiologi. Itulah sintesis ilmu daripada Al Quran yang akhirnya melahirkan individu ulama sekaligus saintis yang pakar dalam bidang fizik, kimia, biologi, astronomi, perubatan, matematik, ekonomi dan lain-lain. Justeru itu hukama ada berkata, barangsiapa yang memahami keseluruhan isi Al Quran, ertinya dia juga faham ilmu-ilmu yang lain secara umum. Ertinya, ulama yang arif dengan ilmu Al Quran secara automatik mempunyai general knowledge yang luas tentang ilmu-ilmu lain. Cuma perlu diingat, bahawa ilmu-ilmu kimia, biologi dan lain-lain yang diambil daripada Al Quran, boleh terus berkembang sesuai dengan keperluan zaman hasil kajian yang dibuat oleh mereka yang bukan ulama. Inilah ruang-lingkup ilmu warisan para nabi. Jika ulama memilikinya barulah layak mereka digelar pewaris nabi. Mereka yang hanya tahu tentang hukum halal dan haram tetapi kosong daripada ilmu-ilmu lain, bukanlah ulama sejati. Mereka akan beku dan canggung bila berdepan dengan masyarakat kerana gagal mentafsir keadaan dan permasalahan dunia yang semakin sulit dan rumit. Ini akan menggagalkan tugas mereka sebagai penyelesai masalah masyarakat. Hanya orang yang faham masalah sahaja yang boleh menyelesaikan masalah. b. Akhlak Ulama mesti mewarisi akhlak para nabi. Ibadah, akhlak dan cara hidup ulama mestilah `bayangan' para nabi. Sifat-sifat terpuji seperti kasih sayang, pemurah, redha, sabar, berani, kesungguhan dan ketaatan kepada Allah mesti ketara pada dirinya. Hingga kerana itu, hanya dengan melihat diri ulama, secara automatik umat akan terimbau kehidupan para nabi yang hanya dapat mereka baca kisahnya dalam sejarah. Akhlak adalah `bunga diri' dan `besi berani' pada para nabi yang menyebabkan orang ramai tertarik dan terikat dengan seruan mereka. Sikap para nabi adalah jelmaan cakapnya. Rasulullah SAW adalah Al Quran hidup. Melihatnya sahaja, manusia akan terdidik. Dengan akhlak yang begitu tinggi, para nabi dapat memberi kasih sayang kepada musuh, bersikap memaafkan ketika berkuasa untuk menghukum, tawadhuk dalam kejayaan, syukur dengan kemenangan, melazimi taubat walaupun tidak berdosa. Kesemua itu sangat besar kesannya dalam mendidik dan memimpin manusia. Ulama yang berakhlak seperti nabi akan ditaati, diikuti dan dikasihi walaupun tidak kaya, berkuasa dan ternama. Akhlak adalah tempat tumpuan hati manusia dan ia merupakan perkara utama kerana atas dasar itulah Rasulullah SAW diutuskan. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia." (Riwayat Ibnu Said, Al Bukhari dan Hakim) Hanya orang yang berakhlak boleh memperbaiki akhlak orang lain. Kayu yang bengkok tidak akan dapat menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Akhlak adalah aset yang lebih penting daripada harta dan kuasa untuk mendidik dan memimpin manusia. Tanpa akhlak, siapa pun pasti ditolak sekalipun bijak dan berjawatan tinggi. c. Cara dan metodologi perjuangan Ulama mestilah berjuang mengikut sunnah perjuangan para nabi terutamanya Rasulullah SAW. Kaedah ini dapat dikaji dan dihayati melalui sirah baginda. Malangnya, ramai yang gagal mencungkil rahsia tersirat di sebalik sirah Rasulullah. Kekadang, yang dikaji hanya fakta dan tarikh semata-mata. Falsafah dan didikan daripada sejarah jarang tercungkil. Ini barangkali disebabkan sesetengah ulama tidak `indepth' dalam meneliti sejarah kecuali melihat di permukaannya sahaja. Akibatnya, liku-liku halus perjuangan para nabi tidak dapat dihayati apalagi disusuri. Kegagalan ini, selain disebabkan tidak rajin membaca, ada juga kaitannya dengan sifat taqwa. Kalau tidak bertaqwa, seseorang akan terpengaruh dan mengikut hawa nafsunya. Nafsu inilah yang enggan menteladani jalan yang ditempuh oleh para nabi (walaupun tahu keindahan dan kebenarannya) kerana ia penuh dengan kepayahan dan penderitaan. Kerana nafsu, ramai yang tidak mahu mengikut perjuangan para nabi sekalipun pakar dalam sejarah. Risiko dan kepayahan yang bakal dihadapi menyebabkan ada ulama yang berpaling daripada landasan itu. Akibatnya, mereka terpaksa tunduk kepada kehendak lingkungan. Jika ini berlaku, mereka gagal jadi pencorak, sebaliknya akan dicorakkan. Ulama yang benar-benar mengikuti jalan hidup Nabi dapat dilihat keberanian dan ketegasannya dalam berpegang pada prinsip. Dalam memberi pandangan misalnya, dia akan menyuarakan apa yang menjadi keyakinannya, bukan sekadar cuba menserasikan pandangan `Islam'nya dengan pandangan sekular semata-mata untuk ambil hati. Dia tidak akan rasa rendah diri (inferiority complex) untuk memberi pandangan yang berbeza. Dia berani menyuarakan pandangannya, tidak semata-mata menguatkan pandangan-pandangan lain dengan nas Al Quran dan Hadis. Pendek kata, dia akan berani memberi pandangan berdasarkan nas, bukan hanya mengesahkan sahaja pandangan orang lain dengan `mencari-cari' nas.

2. Takut kepada Allah Ulama mesti takut kepada Allah seperti firman-Nya: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama." (Al Fathir: 28) Maksud "takut" di sini ialah takut sebagaimana yang dijelaskan oleh Hadis Rasulullah SAW: "Hendaklah kamu takut kepada Allah di mana saja kamu berada....." (Riwayat At Termizi dan Al Baihaqi) Maksudnya, ulama mesti takut kepada Allah pada setiap masa tidak kira semasa mengajar, mendidik, dalam beribadah, dalam masa bergaul, makan minum, dalam berpakaian, dalam masa bekerja, mengendalikan rumahtangga, menguruskan mayarakat dan sebagainya. `Takut' inilah yang mesti mengawal sikap, tindak-tanduk dan tutur katanya, bukan `takut' yang lain. Tawadhuk, warak, amanah, jujur dan berani adalah sifat-sifat ulama yang takutkan Allah. Takut kepada Allah membuatkan seseorang itu bertambah dekat pada-Nya. Ulama yang takut pada Allah akan berani menyampaikan kebenaran walau apa jua rintangan dan cabarannya. Takut pada Allah ini akan menyebabkan ia tegas dan berlemah lembut dalam dakwahnya. Tegas pada prinsip, berlembut dari segi penyampaian. Sebaliknya, mereka yang tidak takutkan Allah akan lembut pada prinsip tapi keras dari segi penyampaian.

3. Bebas dari sebarang ikatan dan kepentingan Ulama sebaik-baiknya bebas daripada ikatan oleh mana-mana kumpulan politik, kaum, bangsa dan kelompok. Dengan itu, dia tidak tertakluk dengan apa-apa kepentingan puak dalam tugasnya. Hatinya juga tidak akan cenderung untuk memihak kepada mana-mana kumpulan yang mengikatnya. Ulama yang bebas daripada sebarang ikatan ini tidak `dipunyai'. Tetapi biasanya ulama itu `mempunyai'. Yakni, setelah ulama berperanan - berdakwah dan mendidik, maka akan ada orang yang mengikutnya. Ketika itu, orang yang mengikutnya seolah-olah menjadi kepunyaannya. Imam Syafi'i, Imam Hambali dan imam-imam mazhab yang lain umpamanya, mempunyai pengikut atau muridnya sendiri. Imam-imam inilah yang mewujudkan satu kumpulan berdasarkan disiplin ilmu feqah yang dikenali sebagai mazhab yang hingga kini mempunyai pengikut-pengikutnya sendiri. Mazhab Syafi'i misalnya, tidak akan wujud sekiranya Imam Syafi'i tidak `mempunyai'. Bila seorang ulama `mempunyai' pengikut, maka dialah yang mendidik pengikut-pengikutnya hingga mereka menjadi model ilmu, ajaran dan dakwahnya untuk masyarakat lingkungan. Dengan wujudnya model ini, masyarakat lebih mudah memahami dan menerima pengajaran yang disampaikannya. Tetapi model ini tidak akan dapat dibina jika ulama `dipunyai'. Dia akan selamanya dicorakkan oleh kepentingan kumpulan atau puaknya tanpa dapat mewujudkan satu model seruan dan ilmu berdasarkan ilmu yang dimilikinya.



4. Tidak meminta bayaran Ulama tidak sepatutnya menuntut bayaran atas ilmu dan tarbiah yang disampaikannya. Supaya keikhlasan dan kewibawaannya tidak terjejas. Jika ulama meminta bayaran, tidak dapat tidak, dia pasti terasa terhutang budi pada orang yang membayarnya. Disebabkan rasa terhutang budi ini, ketegasan dalam menyampaikan dakwah dan didikan boleh terjejas. Malu alah, atau tidak boleh berkata "tidak", adalah penyakit orang yang terhutang budi. Bila ini berlaku, seseorang itu tidak akan mampu berdakwah dan mendidik tanpa segan-silu dan takut-takut lagi. Inilah rahsianya mengapa setiap kali Allah utuskan seorang rasul untuk menyeru sesuatu kaum, awal-awal lagi Allah mewahyukan kepadanya agar menjelaskan kepada kaumnya bahawa dia melaksanakan tugas kerasulan itu bukan kerana mengharapkan sebarang upah. Firman Allah SWT: "Katakanlah, aku (Muhammad) tidak meminta kepada kamu apa-apa upah dari tugas (dakwah) ini." - (Al An'am: 278) Firman Allah lagi: "Turutlah orang yang tiada meminta upah kepadamu, sedang mereka itu mendapat pimpinan yang benar." - (Yasin: 21) Tegasnya, meminta upah kerana tugas dakwah sama ada sedikit atau banyak, secara langsung atau tidak, adalah dilarang. Ini akan mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap para ulama. Keikhlasannya boleh dipertikaikan. Namun begitu jika seorang ulama itu mengajar dan berdakwah sepenuh masa, tanpa ada pekerjaan lain untuk menampung sara hidupnya, maka tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dia menerima pemberian dari orang ramai. Syaratnya, dia tidak meminta. Menerima, tanpa meminta tidak mengapa. Inilah punca rezeki Imam Malik, Imam Ghazali dan ulama-ulama salafussoleh yang `full-time' dalam tugas mereka. Meminta bayaran bukan sifat ulama. Di sinilah kemuliaan diri ulama dan harga ajarannya. Dia bukan peniaga dan ilmunya bukan barang komoditi. Yang terbaik, ulama mempunyai sumber rezekinya sendiri hingga dengan itu dia tidak perlu meminta daripada orang lain. Jika demikian, dia akan benar-benar bebas dan tegas dalam ajarannya kerana tidak termakan budi pada sesiapa. Namun setelah diusahakan dan memang sudah tidak ada rezeki dari mana-mana sumber, maka tidak menjadi kesalahan kalau ulama menerima pemberian dari orang ramai, asalkan jangan dia yang memintanya. Sebab itu ulama-ulama silam selalu mendidik murid-muridnya supaya tidak menggunakan ilmu yang diajar untuk tujuan komersil. Al Quran dan Hadis tidak boleh diperdagangkan. Allah memberi amaran melalui firman-Nya: "Jangan kamu menjual ayat-Ku dengan harga yang murah." - (Al Baqarah: 41)

Kesimpulannya, ulama bukanlah satu jawatan yang diberi oleh mana-mana pihak atau satu profesyen bertujuan komersil. Ulama adalah satu kedudukan yang diberi Allah kepada mereka yang memiliki ciri-ciri yang dijelaskan oleh Al Quran dan Al Hadis. Siapa yang memiliki ciri tersebut, maka dialah ulama `lantikan' Allah. Justeru sifat-sifat itulah kemudiannya akan menyebabkan hati kecil manusia mengiktirafnya dan berkata, dialah ulama pewaris nabi!



Targib buat diri yang lemah:
Memuliakan alim ulama sangat penting dalam kehidupan kita,tidak hanya terbatas pada ulama besar yang megeluarkan fatwa,malahan ustaz-ustaz yang mengajar di masjid-masjid,sekolah-sekolah begitu juga di university dan banyak tempat lagi.Kita sebagai orang awam tidak patut memandang sepi akan setiap kata-kata nasihat yang diberikan mereka.Mereka telah menghabiskan masa nereka untuk mendalami ilmu agama di waktu kita berseronok,berhibur entah kemana,jadi ilmu dan kefahaman agama yang Allah berikan kepada mereka berbanding kita adalah istimewa.

Nak dipendekkan cerita,aku ni antara mamat-mamat yang selalu kene pancung la dek “ulama-ulama” ni,tak kesahlah time kat sekolah dulu,matrikulasi ataupun sekarang ni.Kerana mereka ni memang menyayangi agama dan tidak suka orang lain membuat kesilapan dalam menyampaikan penerangan agama(baguslah kalau macam tu).Tapi yang aku hairan,apasallah lah mike-mike ni nak naik syeikh kalau sebut bab dakwah.Confirm la aku kene tibai.Ade je silap macam la mike tu perfect sangat.Alahai,pointnyer da la lapuk..dakwah tinggal anak bini la,select bab ilmu la..and banyak lagi.Sebenarnya ni sume salah aku,tak membuat hubngan baik dengan ‘wali-wali’ ni,ye lah mereka bukan bodoh tapi da tak de orang nak explain dengan baik dan bagi masa untuk berbual bersama mereka.Memang pedih kene pancung ditengah khalyak ramai(mentang-mentang janggut aku paling panjang dari dia,hehe)..ada-ada jer..ikut nak je aku bedal balik tengah dia naik syeikh tu..Ya Allah,semoga Kau memberi ilmu hikmah kepada ‘ulama-ulama’ ni walau mereka sekadar ‘ulardalam semak’..Aku pernah dengar sedikt peringatan pasal bab leceh ni,kita sebagai orang yang dipancung,kena la jadikan hati kita luas umpama lautan,jangan jadikan hati kita umpama satu bekas cebok..hahai,dibuang tahi terus jadi najis..ha!kalau hati kita umpama lautan bukan sekadar tahi,bangkai gajah pun kita tak terkesan..ehe..moral of story,sabar dan kene ikram selalu para alim-ulama ni..

2 comments:

Anak Pendang Sekeluarga said...

bace lagi dan lagi....dlm fadhilat amale...tajuk bab kemulian memuliakan alim ulama....

snowcap@kopiah.blogspot.com said...

insyaallah..

ucapan sambil lewa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails